Wednesday, November 2, 2011

Ibadah Qurban

Pengertian Qurban 
Dari segi bahasa, qurban bermaksud sesuatu yang dikorbankan kerana Allah subhanahu wata‘ala. 
Dari sudut syara‘, qurban bermaksud menyembelih binatang yang tertentu pada masa-masa yang tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wata‘ala. 

PENSYARI‘ATAN DAN HIKMAHNYA

Qurban telah disyari‘atkan pada tahun kedua hijrah sama seperti ibadah zakat dan sembahyang Hari Raya. 

Firman Allah subhanahu wata‘ala: 

{ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ }

Maksudnya:
“Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelihlah qurban (sebagai tanda syukur)”
(Surah Al-Kauthar 108:2)

Hikmah disyari‘atkan qurban ialah sebagai tanda bersyukur kepada Allah subhanahu wata‘ala di atas segala nikmatNya yang berbagai dan juga di atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun.

Ia juga bertujuan menjadi kifarah bagi pelakunya, sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan di samping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berqurban dan juga mereka yang lain. 

Qurban tidak memadai dengan menghulurkan nilai harganya, berbeza dengan ibadah zakat fitrah yang bermaksud memenuhi keperluan golongan fakir, Imam Ahmad dikatakan menyebut amalan menyembelih qurban adalah lebih afdhal daripada bersedekah dengan nilai harganya. 
HUKUM MELAKUKAN QURBAN

Hukum melakukan qurban ialah sunnah mu’akkadah bagi sesiapa yang mampu melakukannya. 
Sabda Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud: 
 “Aku diperintahkan agar menyembelih qurban dan ia sunat bagi kamu”
(Riwayat Tirmizi)

 PEMBAHAGIAN IBADAH QURBAN

Terdapat dua jenis qurban iaitu qurban wajib dan qurban sunat.
1. Qurban Wajib 
2. Qurban Nazar

Contohnya apabila seseorang menyebut, “Kerana Allah wajib ke atasku berqurban seekor kambing atau seekor unta ini” ataupun dengan menyebut, “Aku jadikan kambing ini sebagai qurban” . Sama sahaja hukumnya dalam hal sama ada yang menyebutnya itu seorang yang kaya ataupun seorang fakir.


Binatang yang dibelikan untuk tujuan qurban oleh seorang fakir. Apabila seorang fakir membeli seekor kambing dengan niat untuk diqurbankan, maka ia menjadi wajib. Ini kerana membeli dengan tujuan berqurban oleh seseorang yang tidak wajib melakukannya dikira wajib kerana perbuatan ini dikira sebagai satu nazar. 

Qurban Sunat

Qurban sunat ialah qurban yang dilakukan oleh seseorang yang berkemampuan melakukannya sama ada miskin ataupun yang bermusafir, yang tidak berniat nazar atau membeli dengan tujuan qurban.


SYARAT-SYARAT QURBAN
Syarat qurban dapat dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:

1. Syarat Wajib/Sunat Qurban. 
2. Syarat Sah Qurban. 
3. Syarat Mereka Yang Dituntut Berqurban. 
 
Syarat Wajib/Sunat Qurban

1.     Untuk dijadikan ibadah qurban wajib ataupun sunat adalah disyaratkan dia mampu melaksanakannya. 

2.     Orang yang dianggap mampu ialah mereka yang mempunyai harga untuk binatang qurban yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang di bawah tanggungannya untuk hari raya dan hari–hari tasyrik kerana inilah tempoh masa bagi melakukan qurban tersebut. 

3.     Kedudukannya sama seperti dalam masalah zakat fitrah, mereka mensyaratkan ia hendaklah merupakan yang lebih daripada keperluan seseorang juga keperluan mereka yang di bawah tanggungannya pada hari raya puasa dan juga malamnya sahaja.

Syarat Sah Qurban
Hendaklah binatang yang diqurbankan itu tidak mempunyai sebarang kecacatan yang menyebabkan kekurangan kuantiti dagingnya ataupun menyebabkan kemudharatan terhadap kesihatan. Contohnya cacat yang teruk pada salah satu matanya, berpenyakit yang teruk, tempang atau kurus yang melampau.

Hendaklah qurban itu dalam masa yang tertentu iaitu selepas sembahyang Hari Raya Haji pada 10 Zulhijjah hingga sebelum terbenam matahari pada akhir Hari Tasyrik iaitu pada 13 Zulhijjah.

Hendaklah disembelih oleh orang Islam.

Orang yang berkongsi mengorbankan unta atau lembu tidak lebih dari tujuh orang di mana masing–masing menyumbang 1/7 bahagian. 

Syarat Mereka Yang Dituntut Berqurban

1. Islam. 
2. Merdeka. 
3. Aqil Baligh. 
4. Bermukim atau Musafir. 
5. Berkemampuan. 
 
WAKTU PELAKSANAAN IBADAH QURBAN


Waktu bagi menyembelih qurban bermula setelah selesai sembahyang Hari Raya dan bacaan khutbahnya iaitu setelah naik matahari sekadar segalah. Masanya berterusan siang dan malam sehingga Hari Tasyrik yang akhir iaitu sebelum terbenam matahari pada hari tersebut. Ini berdasarkan hadis Nabi yang diriwayat oleh Al-Barra’ bin ‘Azib : 
“Perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini ialah bersembahyang, kemudian kita balik dan melakukan penyembelihan qurban. Sesiapa yang melakukan demikian maka dia telah menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum itu, maka ia merupakan daging yang disediakan untuk ahli keluarganya. Ia tidak dikira sebagai ibadah khas (qurban) ini sedikit pun.”

BINATANG QURBAN

Perbincangan tentang binatang qurban ini meliputi empat perkara :

1. Jenis binatang yang diqurban. 
2. Umur binatang qurban. 
3. Kadar binatang yang disembelih. 
4. Sifat–sifat binatang qurban. 

1. Jenis Binatang Yang Diqurban 

Para ulama’ sependapat bahawa ibadah qurban tidak sah kecuali dengan menggunakan binatang an‘am, iaitu binatang jinak yang berkaki empat seperti unta, lembu dan kerbau, kambing biri–biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina. Oleh itu, tidak sah berqurban dengan menggunakan binatang yang lain daripada binatang an‘am ini seperti kerbau liar dan kijang. 

Firman Allah subhanahu wata‘ala: 
{ وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ اْلأَنْعَمِ } 
Maksudnya:
“Dan bagi tiap-tiap satu umat, Kami syari‘atkan ibadah menyembelih qurban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka: binatang-binatang ternak yang disembelih itu.”
(Surah Al-Hajj 22:34)

Tidak terdapat sebarang dalil sama ada yang dinaqalkan daripada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam atau sahabat yang menunjukkan mereka berqurban dengan binatang selain daripada binatang-binatang ternakan (an‘am) ini. Oleh kerana qurban merupakan satu ibadah yang dikaitkan dengan binatang, maka ia hanya ditentukan kepada binatang an‘am sahaja sama seperti ibadah zakat.


Adapun binatang yang lebih afdhal diqurban ialah unta diikuti dengan lembu kemudian biri-biri atau kibasy kemudian kambing. Ini memandangkan kuantiti dagingnya yang lebih banyak bagi maksud pengagihan yang lebih meluas untuk fakir miskin. Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam juga telah bersabda yang bermaksud: 

 “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat dengan mandi junub, kemudian dia pergi (ke Jumaat) maka dia seolah-olah telah berqurban seekor unta. Sesiapa yang pergi pada saat kedua maka dia seolah-olahnya berqurban dengan seekor lembu. Sesiapa yang pergi pada saat ketiga maka dia seolah-olah berqurban dengan seekor kibasy yang bertanduk.”

 2. Umur Binatang Qurban
Umur binatang yang hendak diqurbankan berbeza-beza mengikut jenis binatang iaitu:

Unta disyaratkan telah berumur lima tahun dan masuk ke umur enam tahun. 
Kambing dan lembu disyaratkan telah berumur dua tahun dan masuk ke umur tiga tahun. 
Kibasy disyaratkan telah memasuki umur dua tahun. 
Bagi anak unta, lembu, kambing dan kibasy yang telah berumur dua tahun lebih (yang telah bersalin gigi) harus dijadikan qurban. 

3. Kadar Binatang Yang Disembelih 

Para fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa seekor kambing atau kibasy hanya mencukupi sebagai qurban untuk seorang sahaja. Seekor unta atau lembu pula mencukupi untuk menjadi qurban bagi tujuh orang. Ini berdasarkan hadith Jabir:

“Kami berqurban bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam semasa di Hudaybiyah dengan seekor unta atau seekor lembu untuk tujuh orang.”

Dalam riwayat Muslim pula menyebut : 
“Kami keluar bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan kami berniat Haji. Maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah memerintahkan kami supaya berkongsi mengurbankan seekor unta atau seekor lembu. Setiap tujuh orang berkongsi seekor unta.”

4. Sifat–Sifat Binatang Qurban

Sifat–sifat binatang qurban sama ada betina atau jantan yang digariskan oleh syara‘ adalah seperti berikut:

1. Terang penglihatannya iaitu tidak buta. 
2. Tidak cacat seperti kudung kaki, putus ekornya, terpotong hidungnya atau sebagainya. 
3. Gemuk, tidak harus pada binatang yang terlalu kurus. 
4. Ciri-ciri yang afdhal terdapat pada binatang qurban itu: 
5. Gemuk pada keseluruhan anggotanya. 
6. Bertanduk. 
7. Putih warna bulunya (pada kibasy). 
8. Jantan. 

Sifat yang makruh pada binatang qurban:

1. Rabit telinganya. 
2. Terpotong sedikit bahagian belakang atau depan telinganya. 
3. Tidak mempunyai tanduk sejak asalnya. 
4. Patah tanduk sebelah atau keduanya atau pecah bahagian tanduknya. 
5. Tanggal sebahagian giginya disebabkan tua atau jatuh. 
6. Kabur penglihatannya. 
 
PERKARA SUNAT KETIKA BERQURBAN

1. Sunat menambat binatang yang hendak diqurbankan itu beberapa hari sebelum disembelih.
2. Digantung tanda pada binatang yang hendak diqurbankan.
3. Dibawa dengan baik dan ihsan ketika ke tempat penyembelihan.
4. Disunatkan juga orang yang berqurban menyembelihnya.
5. Sunat dihadapkan ke arah qiblat ketika menyembelih qurban.
6. Sunat memilih binatang yang paling gemuk, terelok dan terbesar untuk dijadikan qurban.
7. Sunat digunakan alat yang paling tajam dan diperbuat daripada besi.


Setelah selesai disembelih maka sunat ditunggu sehingga binatang yang disembelih itu sejuk dan semua anggota tidak bergerak lagi. Sunat bagi mereka yang mahu melakukan qurban tidak bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga telah selesai berqurban.
Binatang qurban sunat dibaringkan di atas rusuk kiri sebelum dilakukan penyembelihan.

Sunat ketika sembelihan qurban dilakukan adalah seperti berikut: 
1. Membaca basmalah. 
2. Bersalawat ke atas Nabi Muhammad. 
3. Binatang diarahkan ke arah qiblat. 
4. Bertakbir sebelum atau selepas membaca basmalah. 
5. Berdoa. 
 
Orang yang berqurban hendaklah membaca doa seperti berikut :
“Ya Allah, ini adalah nikmat yang datang dariMu dan dengannya aku mohon untuk dapat mendampingiMu.”

Sunat wakil yang melakukan sembelihan menyebutkan orang yang mewakilkannya seperti:
“Dengan nama Allah dan Engkau Yang Maha Besar, ini daripadaMu dan untukMu. Terimalah Ya Allah daripada si pulan, si pulan.....”

PERKARA MAKRUH KETIKA BERQURBAN
1. Berlaku kasar kepada binatang yang hendak diqurbankan seperti mengheret atau memukul semasa membawa ke tempat sembelihan atau seumpamanya.
2. Memerah susu atau menggunting bulu atau mengambil sebarang faedah dari binatang yang hendak dijadikan qurban.
3. Tidak menghadapkan ke arah qiblat semasa sembelihan dilakukan. 
4. Bercukur atau memotong kuku setelah tiba bulan Zulhijjah hingga penyembelihan qurban selesai dijalankan.
5. Binatang yang telah dibeli untuk tujuan qurban adalah makruh dijual kerana ia telah ditentukan untuk qurban. 
 

HUKUM DAGING QURBAN
Qurban yang wajib iaitu yang dinazarkan ataupun yang ditentukan sama ada dengan menyebut, “Ini adalah qurban”, maka orang yang berqurban tidak boleh memakannya. Dia wajib menyedekahkan semuanya sekali. 

Anak kepada binatang qurban yang ditentukan juga, perlu disembelih seperti ibunya, tetapi bezanya ia boleh dimakan kesemuanya oleh tuan yang mengurbankannya kerana disamakan dengan hukum susu, kerana tuannya harus meminum susu binatang qurban yang selebih daripada anaknya walaupun perbuatan itu makruh.

Bagi qurban sunat, maka tuannya sunat memakannya, iaitu yang afdhalnya dia hendaklah memakannya beberapa suap sebagai mengambil berkat. Ini bersesuaian  dengan firman Allah subhanahu wata‘ala: 
{ فَكُلُواْ مِنْهَا وَأَطْعِمُواْ الْبَآئِسَ الْفَقِيرَ } 
Maksudnya:
“Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang qurban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”
(Surah Al-Hajj, 22:28)

Hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi pula ada menyebut bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah memakan sebahagian daripada hati binatang qurbannya. Hukum memakan daging qurban pula tidak wajib, ini berdasarkan firman Allah subhanahu wata‘ala: 
{ وَالْبُدْنَ جَعَلْنَهَا لَكُم مِّن شَعَآئِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ } 
Maksudnya:
“Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syi‘ar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu.”
(Surah Al-Hajj, 22:36)

Dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa ia dijadikan untuk kita. Setiap perkara yang dijadikan untuk manusia, maka dia diberi pilihan sama ada mahu memakannya atau tidak.

Orang yang berqurban juga boleh menjamu kepada kalangan yang kaya, tetapi tidak boleh diberi milik kepada mereka. Yang boleh cuma dihantar kepada mereka sebagai hadiah yang mana mereka tidak akan menjualnya atau sebagainya. 
Mengikut pendapat dalam qawl jadid, orang yang berqurban boleh memakan sebahagian daripada qurbannya. Mengikut qawl qadim pula harus memakan sebanyak separuh, manakala bakinya hendaklah disedekahkan.

Sebahagian ulama’ berpendapat daging qurban dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 1/3 daging disedekahkan dalam keadaan mentah, 1/3 daging dimasak dan dibuat jamuan dan 1/3 daging dimakan oleh orang yang berqurban. 


Pendapat yang sahih pula, adalah wajib bersedekah dengan sebahagian daripada daging qurban walaupun sedikit kepada orang Islam yang fakir walaupun seorang. Walaubagaimanapun, yang lebih afdhal hendaklah disedekahkan kesemuanya kecuali memakannya beberapa suap untuk mengambil keberkatan seperti yang telah dijelaskan.

Bagi qurban sunat pula, orang yang berqurban boleh sama ada bersedekah dengan kulit binatang tersebut atau menggunakan sendiri, seperti mana dia harus mengambil faedah daripada binatang itu semasa hidupnya. Tetapi bersedekah adalah lebih afdhal. Bagi qurban yang wajib  pula, kulit binatang itu wajib disedekahkan.

Qurban juga tidak harus dibawa keluar dari negeri asalnya sebagaimana yang ditetapkan dalam masalah membawa keluar zakat. 

Aqiqah

AQIQAH UNTUK ANAK
Aqiqah pengertian dari segi bahasa ialah rambut dikepala kanak-kanak. Sementara pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh  Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir itu  terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Riwayat Abu Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah)

Hukum Aqiqah

Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu
 Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadiwajib.

Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa
 Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi). Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawaRasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)

Daging Aqiqah

Daging aqiqah digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah, bahkan disunatkan supaya dimasak terlebih dahulu dengan sedikit rasa manis walaupun aqiqah itu aqiqah nazar. Tujuannya ialah untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap keelokkan perangai dan budi pekerti anak yang diaqiqahkan.Kemudian daging yang telah dimasak itu diberi makan kepada fakir miskin, sama ada dengan dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka atau dijemput mereka itu hadir makan di rumah tempat beraqiqah. Namun yang lebih afdal adalah dihantar masakan tersebut ke rumah-rumah orang fakir miskin.

Sementara itu, sunat bagi orang yang beraqiqah memakan sebahagian kecil daripada daging binatang yang diaqiqahkan, selagi mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah nazar) atau aqiqah kerana wasiat.Dalam hal memakan, menyedekah dan menghadiahkan daging aqiqah tersebut sama keadaannya dengan korban.

Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecahkan tulang binatang aqiqah itu, bahkan disunatkan supaya mengasingkan tulang-tulang itu mengikut sendi-sendinya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:


Maksudnya: 
"Afdal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing. Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya."

(Hadis riwayat al-Hakim)

Ini bertujuan untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap tulang anak itu nanti tidak pecah dan tidak patah sebagaimana tidak pecah dan tidak patahnya tulang-tulang binatang aqiqah itu.

Waktu Aqiqah

Aqiqah itu sunat dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan dan berterusan sehinggalah anak itu baligh. Ini adalah pendapat yang paling rajih. Apabila anak itu sudah baligh, gugurlah hukum sunat itu daripada walinya dan ketika itu hukum sunat berpindah ke atas anak itu sendiri dalam melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.

Walaupun waktu yang disunatkan untuk beraqiqah itu panjang, tetapi yang afdhal hendaklah dilakukan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya maksudnya :


"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengaqiqahkan Hasan dan Husain pada hari ketujuh, memberikan kedua-duanya nama dan Baginda menyuruh supaya menghilangkan daripada keduanya kesakitan kepala (mencukur rambut kepala)." 

(Hadis riwayat al-Hakim)


Termasuk dalam kiraan tujuh hari itu, hari anak itu dilahirkan. Jika anak itu dilahirkan pada waktu siang sebelum terbenam matahari, maka hari itu dikira satu hari. Sebaliknya jika dia dilahirkan pada waktu malam, maka malam dia dilahirkan itu tidak dikira sebagai satu hari, bahkan kiraan tujuh hari itu bermula daripada hari selepasnya (siang berikutnya).Waktu yang afdhal untuk menyembelih binatang aqiqah itu ialah setelah terbit matahari.

Melakukan Aqiqah Sebelum Kelahiran

Sebagaimana penjelasan di atas, jika penyembelihan aqiqah itu dilakukan selepas hari ketujuh ataupun sebelum hari ketujuh selepas kelahiran adalah memadai aqiqah tersebut. Ini kerana adanya sebab yang mensyariatkan ibadat aqiqah tersebut iaitu kelahiran anak. Akan tetapi jika aqiqah itu dilakukan sebelum kelahiran anak, maka tidak memadai aqiqahnya itu melainkan ianya hanya dikira sebagai binatang sembelihan biasa sahaja. 

Syarat Sah Aqiqah

Syarat sah aqiqah ialah ;
  1. Berniat aqiqah ketika menyembelih.
  2. Binatang ternakan berkaki empat iaitu kambing, biri-biri, kibas, lembu, kerbau dan unta.
  3. Memenuhi syarat-syarat sembelihan.
  4. Tidak terdapat kecacatan pada binatang tersebut
  5. Disembelih pada waktunya iaitu hari ketujuh selepas kelahiran @ bila-bila masa sebelum anak tersebut baligh
  6. Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur.
Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan Qurban adalah seperti berikut:


Binatang
         Umur
Biri-biri/
1 tahun atau lebih
Kambing
2 tahun atau lebih
Lembu/kenbau
2 tahun atau lebih
Unta
5 tahun atau lebih

 Sunat-sunat Aqiqah ialah:

  1. Dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran
  2. Menyembelih ketika matahari sedang naik (pagi)
  3. Mencukur rambut bayi selepas penyembelihan
  4. Memberi nama yang baik kepada bayi
  5. Berdoa ketika hendak menyembelih
  6. Daging dimasak manis.
  7. Tidak mematahkan sendi tulang binatang tersebut ketika dimasak.
  8. Daging aqiqah disunatkan buat jamuan atau kenduri 

   Hikmah Aqiqah

  1. Tanda kesyukuran diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk menjalankan syariat Islam dan dianugerahkan anak
  2. Menggalakkan amalan sedekah.
  3. melepaskan penghalang pada bayi dalam memberi syafaat kepada orang tua mereka
  4. Sebagai mengikuti sunnah Rasulullah.
  5. Mengukuhkan semangat persaudaraan dalam masyarakat.
  6. Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak dalam diri.
  7. Memulakan kehidupan seorang bayi dengan amalan yang baik
  8. membiasakan berkorban bagi orang tua 


Monday, October 10, 2011

Ciri-ciri pemimpin yang baik

Pada entri kali ini kita akan melihat ciri-ciri untuk menjadi seorang pemimpin yang baik.Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh bukhari

Ibn umar r.a berkata : saya telah mendengar rasulullah saw bersabda : setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannnya. Seorang kepala negara akan diminta pertanggungjawaban perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang memelihara rumah tangga suaminya akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Bahkan seorang pembantu/pekerja rumah tangga yang bertugas memelihara barang milik majikannya juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya (diminta pertanggungan jawab) darihal hal yang dipimpinnya. (buchary, muslim)

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (pemerintah) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Suami adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Khadam (orang gaji) adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu.” (Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)

Kejayaan sesebuah organisasi bergantung ke atas prestasi kolektif pentadbirnya, iaitu orang yang mengarah kerja dan memimpin kakitangan keseluruhannya. Pemimpin (atau Ketua Jabatan) secara bersendirian mesti mendapatkan kerjasama secara sukarela daripada rakan sejawatnya kerana proses kepimpinan memang melibatkan dua orang atau lebih. Seorang daripadanya cuba membimbing dan mendorong yang lain dalam usaha mencapai matlamat sistem. Dalam proses perhubungan Ketua Jabatan dan kakitangan, terdapat banyak aspek yang perlu diberi perhatian.

Misalnya, bagaimanakah seorang Ketua Jabatan mempengaruhi tingkah laku kakitangan supaya dapat menghasilkan output yang sempurna. Sebagai contoh dalam situasi sekolah misalnya, pengetua/guru besar dan guru-guru berusaha melahirkan pelajar yang sempurna dari segi mental, fizikal, rohani dan jasmani. Seorang pengetua/guru besar mesti mempunyai ciri-ciri kepimpinan, agar mendapat kerjasama dan diterima oleh semua kakitangan di sekolah.

Apabila seseorang itu berjaya memimpin, ini bermakna dia berjaya mempengaruhi anggota-anggota yang lain di dalam organisasi itu. Kebolehan mempengaruhi bergantung kepada unsur yang penting iaitu kuasa yang ada pada seseorang itu. Mengikut Dr Robiah Sidin (1988), dalam bukunya ‘Asas Pentadbiran Pendidikan’, beliau menegaskan bahawa secara umumnya ada dua jenis kuasa yang boleh dipegang oleh seseorang pemimpin itu. Pertama, kuasa yang datang dengan jawatannya di dalam organisasi itu dan kedua, kuasa yang berpunca daripada keadaan dirinya sendiri atau kuasa individu. Kuasa yang bersangkut paut dengan jawatan adalah penting kerana memberi kepercayaan kepada anggota-anggotanya. Walaubagaimanapun untuk seseorang itu kekal menjadi pemimpin dia mesti juga mempunyai kuasa yang berunsurkan kebolehan tersendirinya. Ini termasuklah:

1. Mentaliti

  • Kebijaksanaan atau kebolehan membuat perhitungan yang jauh sebelum bertindak dengan menilai antara yang baik dan buruk berdasarkan pertimbangan ilmu dan pengalaman.
  • Keberanian atau kesungguhan serta kesanggupan menghadapi cabaran dan masalah serta risiko, baik yang berpunca dari luar diri atau dalam diri sendiri.
  • Mempunyai inisiatif atau tindakan yang dimulakan sendiri tanpa menunggu orang lain dating kepadanya minta bertindak.
  • Mempunyai kreativiti sendiri, terutamanya dalam menyelesaikan masalah-masalah yang wujud dalam organisasi.

2. Kemasyarakatan

  • Kesediaan memberi dan menerima pendapat.
  • Sikap positif dan terbuka.
  • Daya penggerak dan semangat juang yang kuat.
  • Kebolehan berkomunikasi secara berkesan.

3. Moraliti

  • Mempunyai disiplin diri yang unggul.
  • Kebersihan jiwa terutamanya dari segi keadilah, amanah, ketenangan, kesabaran, keteguhan pendirian dan ketahanan diri.
  • Iman yang teguh, terutama orang yang beragama Islam.

Antara ketiga-tiga ciri yang dinyatakan, moraliti adalah yang terpenting untuk menilai seseorang pemimpin sama ada baik atau buruk, berkesan atau tidak, boleh bertahan lama atau tidak.

Pemimpin memerlukan juga sikap tertentu untuk mempengaruhi orang lain. Perkara yang paling penting ialah pemimpin harus mempunyai pengertian dan tanggapan yang tajam terhadap individu-individu yang saling berurusan dengannya. Selain daripada itu seorang pemimpin juga harus mempunyai:

  • Empati; iaitu kebolehan untuk memahami perasaan orang lain dan bersimpati.
  • Kesedaran; akan kelemahan dan kekuatan dirinya sendiri. Sedar tentang bagaimanakah dirinya dianggap oleh orang lain. Hanya apabila ini berlaku maka barulah kepercayaan kebolehan dirinya akan timbul.
  • Kebolehan: untuk melihat secara objektif akan masalah-masalah dan tingkah laku anggota-anggota lain. Pemimpin harus bersikap adil boleh memberi analisa yang adil dan tidak emosional.

Selain itu, sekiranya seseorang itu ingin menjadi pemimpin yang baik, dia hendaklah mengamalkan perkara-perkara yang diketahui, dilihat dan diterima sebagai baik:

  • Seseorang pemimpin harus bersedia untuk belajar dari siapa sekalipun apa yang dia tidak tahu kerana kepimpinan itu sesuatu yang boleh terus menerus dipelajari dari latihan dan pengalaman.
  • Seseorang pemimpin mesti berani memberi jawapan yang tegas kepada sesuatu yang difikirkan baik atau tidak baik kepada organisasinya.
  • Seseorang pemimpin yang baik berupaya memudahkan semua kerja, dengan menjadikannya kerja-kerja biasa yang boleh dilakukan oleh kebanyakkan orang bawahannya dan tidak memerlukan pakar khusus.
  • Seorang pemimpin yang baik mempunyai perhubungan baik dengan orang-orang bawahannya. Dia mengenali mereka sebagai individu-individu yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Pada kebiasaannya, pemimpin yang baik jarang berkasar dengan orang-orang bawahannya.
  • Seseorang pemimpin yang baik pandai membahagikan masa. Dia tahu bila masa bertugas dan bila masa di luar tugas dan bertindak bersesuaian dengan keadaan. Pemimpin yang tidak cekap selalu merasa runsing dan bimbang dengan hal-hal tugas di mana juga dia berada.
  • Dalam sesebuah organisasi terdapat pelbagai jenis manusia: ada yang malas, ada yang rajin dan ada yang boleh diharap serta ada yang tidak boleh diharap. Seorang pemimpin yang bijak tidak lemah semangat dengan keadaan ini. Dia menerima hakikat sedemikian dan menggunakan sebaik-baiknya apa yang ada.
  • Seorang Pemimpin yang baik tahu dan mahu berbincang denganorang-orang bawahannya mengenai sesuatu hal yang dia sendiri tidak pasti. Dia tidak hanya pandai mengeluarkan arahan saja.
  • Seorang pemimpin yang baik mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman mengenai tugas dan manusia.
  • Seorang pemimpin yang baik pandai memperkembangkan kebolehan bekerja orang bawahannya. Dia tahu mengagihkan tugas kepada mereka.
  • Seorang pemimpin yang bijak tidak sekali-kali lemah semangat dan cepat mengaku kalah apabila berdepan dengan sesuatu masalah. Kalau masalah tidak dapat diselesaikan dengan satu cara, dia menggunakan cara lain. Dia sentiasa bersikap positif.

Melalui perbincangan mengenai ciri-ciri pemimpin berkesan di atas, beberapa kesimpulan dapat dibuat. Diantaranya ialah kepimpinan ialah perlakuan seseorang yang boleh menggerakkan orang lain untuk berfikir, merasa, bertindak dengan cara-cara tertentu. Dalam hal ini seorang pemimpin harus mengetahui keperluan dan motif orang-orang yang berkerja dengannya dan harus menitikberatkan pencapaian matlamat kumpulan. Dia juga harus berjaya mengekalkan kekuatan yang ada pada kumpulannya untuk menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat masa depan.

Seseorang pemimpin boleh menonjolkan kepimpinannya hanya melalui penglibatannya dalam kumpulan. Dalam kumpulan pula kekerapan interaksi bersama kakitangan membolehkan keberkesanan kepimpinannya. Kalau seorang pemimpin sentiasa “bersembunyi” dalam biliknya dan tidak mempunyai masa untuk berinteraksi dengan kakitangannya, maka kepimpinannya kurang berkesan.

Kepimpinan bukan bergantung sepenuhnya kepada jawatan. Status jawatan yang disandang hanya satu daripada punca potensi kepimpinan. Kejayaan kepimpinan adalah fungsi kedua-dua kuasa; secara formal melalui jawatan dan secara tidak formal yang bukan kerana jawatan, iaitu penerimaan orang-orang bawahan .