Saturday, August 11, 2012

Pengayaan dan Pemulihan dalam Pengajaran dan Pembelajaran BM Sekolah Rendah


Definisi Pemulihan
i.       Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 1245,1246)
“Pulih” bermaksud kembali seperti biasa (keadaan semula). “Pemulihan” bermaksud perbuatan memulihkan, pengembalian kepada keadaan semula. Dalam konteks ini konsep pemulihan merujuk kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam pembelajaran.  Pembelajaran pemulihan biasanya dikaitkan dengan usaha untuk memperbaiki sesuatu kekurangan atau memperbetul sesuatu.

ii.           Blair (1956)

Pemulihan ialah program khas berbentuk tambahan bagi memenuhi  keperluan kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran agar ketidakupayaan yang menghalangnya dapat diatasi.  Aktiviti pemulihan tertumpu kepada penguasaan kemahiran.

iii.        O. C. Simpson (1975)
Aktiviti pemulihan merupakan tindakan khas atau tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesulitan dari segi pembelajaran dalam kelas khas di sekolah biasa, di pusat-pusat khusus yang dihadiri oleh murid secara sambilan, dan  dalam darjah untuk pengajaran pembelajaran biasa.

iv.       Syarifah Alawiah Alsagoff (1983)
Pemulihan ialah satu tindakan yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesusahan dari segi pembelajaran dalam darjah khas di sekolah biasa, di pusat khusus yang diasingkan daripada sekolah biasa dan dalam darjah untuk pengajaran
pembelajaran biasa.
v.        Ishak Harun dan Koh Boh Boon (1983)
Pemulihan merupakan perkhidmatan khas untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang menghadapi pembelajaran di sekolah biasa.


vi.          Tansley (1967) :

‘ ..satu bentuk pengajaran yang mengutamakan langkah-langkah yang benar-benar teliti dan sistematik bagi membolehkan pengajaran pemulihan dijalankan dengan tersusun.’

vii.        Persatuan Pendidikan Pemulihan Kebangsaan (NARE) UK (1975):

‘..satu program pengajaran khas yang dirangka bagi memenuhi keprluan pendidikan bagi murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran dalam kalangan murid-murid di sekolah-sekolah biasa.’

viii.    Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia (1984):

‘...langkah-langkah khusus yang dijalankan untuk membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas membaca, menulis dan mengira...hendaklah dipulihkan sebaik sahaja masalah tersebut dapat dikesan dan ditentukan.’

ix.       Bahagian Sekolah-sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia (1986):

‘...satu usaha dalam pendidikan untuk mengatasi masalah pembelajaran murid-murid lemah di sekolah-sekolah rendah, khususnya ditumpukan kepada kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, di bawah kelolaan guru-guru pemulihan yang telah menerima latihan khas dalam bidang ini’.


1.4.2       Konsep

Program Pemulihan ialah satu perkhidmatan yang diadakan khusus untuk murid-murid yang menghadapi kesukaran dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira yang menjadi fokus utama Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Program ini dikendalikan oleh guru-guru pemulihan khas.


   Rumusan
Pendidikan pemulihan ialah suatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran alternatif untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah di dalam kelas. Pelaksanaan program pemulihan ini bertujuan supaya jurang perbezaan pencapaian di antara murid  dapat dikecilkan dan mereka dapat belajar bersama-sama dalam suasana pembelajaran yang lebih baik di dalam kelas biasa

1.4.3         Program Pemulihan
“... Setiap murid adalah berbeza antara satu dengan lain sama ada dari segi pengalaman, tingkah laku, amalan, kecenderungan, bakat dan kebolehannya.  Perbezaan individu ini perlulah menjadi satu pedoman atau pegangan guru dalam usaha merancang pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah...”
                                                                             (Buku Panduan Am KBSR, 1982)

Menurut Ab. Rahman, et. al. (1997), dalam konteks Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR), program pemulihan merupakan langkah-langkah khas yang diusahakan untuk membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis, dan mengira).  Mereka ini kemudiannya diberikan program pemulihan sebaik-baik sahaja masalah mereka dapat dikesan dan dikenal pasti.

Ab. Rahman et. al. (1997) menjelaskan lagi, bahawa program pemulihan perlu dilaksanakan kepada murid yang menghadapi masalah pembelajaran, iaitu mereka yang memperoleh pencapaian di bawah paras yang sepatutnya.  Murid-murid seumpama ini ada di semua peringkat persekolahan, baik di luar bandar mahupun di bandar. Masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid-murid ini mungkin berupa masalah yang ringan, dan pemulihan boleh dilakukan oleh guru kelas biasa.  Bagi murid-murid yang menghadapi masalah yang berat dan kompleks, mereka akan dikelolakan oleh guru khas pemulihan di kelas khas.

Sebaik-baik sahaja kelemahan dalam sesuatu kemahiran atau konsep dipulihkan, murid-murid yang diajar oleh guru pemulihan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik di kelas khas akan dihantar semula ke kelas biasa. Sementara murid-murid pemulihan di kelas biasa, akan diubahsuai kedudukan di dalam kelas ke kumpulan mengikut kebolehan berdasarkan prestasi dari semasa ke semasa.



1.4.4    Rasional
i.        Dari sudut Falsafah, program pemulihan memenuhi keperluan setiap
murid yang  ketinggalan kerana tidak dapat belajar sepenuhnya dalam kelas biasa. Ini selaras dengan konsep “Pendidikan Untuk Semua”.
ii.       Dari sudut Teori, Pendekatan pengajaran seperti “Prescriptive-Diagnostic Teaching”, “Precision Teaching”, dan Clinical  Teaching” telah terbukti berjaya yang merupakan  asas kepada pelaksanaan program ini.
Dari sudut Pencegahan, masalah yang dialami oleh setiap murid akan bertambah dan semakin menyulitkan jika tidak ditangani dengan segera.