Monday, October 10, 2011

Ciri-ciri pemimpin yang baik

Pada entri kali ini kita akan melihat ciri-ciri untuk menjadi seorang pemimpin yang baik.Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh bukhari

Ibn umar r.a berkata : saya telah mendengar rasulullah saw bersabda : setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannnya. Seorang kepala negara akan diminta pertanggungjawaban perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang memelihara rumah tangga suaminya akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Bahkan seorang pembantu/pekerja rumah tangga yang bertugas memelihara barang milik majikannya juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya (diminta pertanggungan jawab) darihal hal yang dipimpinnya. (buchary, muslim)

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (pemerintah) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Suami adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Khadam (orang gaji) adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu.” (Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)

Kejayaan sesebuah organisasi bergantung ke atas prestasi kolektif pentadbirnya, iaitu orang yang mengarah kerja dan memimpin kakitangan keseluruhannya. Pemimpin (atau Ketua Jabatan) secara bersendirian mesti mendapatkan kerjasama secara sukarela daripada rakan sejawatnya kerana proses kepimpinan memang melibatkan dua orang atau lebih. Seorang daripadanya cuba membimbing dan mendorong yang lain dalam usaha mencapai matlamat sistem. Dalam proses perhubungan Ketua Jabatan dan kakitangan, terdapat banyak aspek yang perlu diberi perhatian.

Misalnya, bagaimanakah seorang Ketua Jabatan mempengaruhi tingkah laku kakitangan supaya dapat menghasilkan output yang sempurna. Sebagai contoh dalam situasi sekolah misalnya, pengetua/guru besar dan guru-guru berusaha melahirkan pelajar yang sempurna dari segi mental, fizikal, rohani dan jasmani. Seorang pengetua/guru besar mesti mempunyai ciri-ciri kepimpinan, agar mendapat kerjasama dan diterima oleh semua kakitangan di sekolah.

Apabila seseorang itu berjaya memimpin, ini bermakna dia berjaya mempengaruhi anggota-anggota yang lain di dalam organisasi itu. Kebolehan mempengaruhi bergantung kepada unsur yang penting iaitu kuasa yang ada pada seseorang itu. Mengikut Dr Robiah Sidin (1988), dalam bukunya ‘Asas Pentadbiran Pendidikan’, beliau menegaskan bahawa secara umumnya ada dua jenis kuasa yang boleh dipegang oleh seseorang pemimpin itu. Pertama, kuasa yang datang dengan jawatannya di dalam organisasi itu dan kedua, kuasa yang berpunca daripada keadaan dirinya sendiri atau kuasa individu. Kuasa yang bersangkut paut dengan jawatan adalah penting kerana memberi kepercayaan kepada anggota-anggotanya. Walaubagaimanapun untuk seseorang itu kekal menjadi pemimpin dia mesti juga mempunyai kuasa yang berunsurkan kebolehan tersendirinya. Ini termasuklah:

1. Mentaliti

  • Kebijaksanaan atau kebolehan membuat perhitungan yang jauh sebelum bertindak dengan menilai antara yang baik dan buruk berdasarkan pertimbangan ilmu dan pengalaman.
  • Keberanian atau kesungguhan serta kesanggupan menghadapi cabaran dan masalah serta risiko, baik yang berpunca dari luar diri atau dalam diri sendiri.
  • Mempunyai inisiatif atau tindakan yang dimulakan sendiri tanpa menunggu orang lain dating kepadanya minta bertindak.
  • Mempunyai kreativiti sendiri, terutamanya dalam menyelesaikan masalah-masalah yang wujud dalam organisasi.

2. Kemasyarakatan

  • Kesediaan memberi dan menerima pendapat.
  • Sikap positif dan terbuka.
  • Daya penggerak dan semangat juang yang kuat.
  • Kebolehan berkomunikasi secara berkesan.

3. Moraliti

  • Mempunyai disiplin diri yang unggul.
  • Kebersihan jiwa terutamanya dari segi keadilah, amanah, ketenangan, kesabaran, keteguhan pendirian dan ketahanan diri.
  • Iman yang teguh, terutama orang yang beragama Islam.

Antara ketiga-tiga ciri yang dinyatakan, moraliti adalah yang terpenting untuk menilai seseorang pemimpin sama ada baik atau buruk, berkesan atau tidak, boleh bertahan lama atau tidak.

Pemimpin memerlukan juga sikap tertentu untuk mempengaruhi orang lain. Perkara yang paling penting ialah pemimpin harus mempunyai pengertian dan tanggapan yang tajam terhadap individu-individu yang saling berurusan dengannya. Selain daripada itu seorang pemimpin juga harus mempunyai:

  • Empati; iaitu kebolehan untuk memahami perasaan orang lain dan bersimpati.
  • Kesedaran; akan kelemahan dan kekuatan dirinya sendiri. Sedar tentang bagaimanakah dirinya dianggap oleh orang lain. Hanya apabila ini berlaku maka barulah kepercayaan kebolehan dirinya akan timbul.
  • Kebolehan: untuk melihat secara objektif akan masalah-masalah dan tingkah laku anggota-anggota lain. Pemimpin harus bersikap adil boleh memberi analisa yang adil dan tidak emosional.

Selain itu, sekiranya seseorang itu ingin menjadi pemimpin yang baik, dia hendaklah mengamalkan perkara-perkara yang diketahui, dilihat dan diterima sebagai baik:

  • Seseorang pemimpin harus bersedia untuk belajar dari siapa sekalipun apa yang dia tidak tahu kerana kepimpinan itu sesuatu yang boleh terus menerus dipelajari dari latihan dan pengalaman.
  • Seseorang pemimpin mesti berani memberi jawapan yang tegas kepada sesuatu yang difikirkan baik atau tidak baik kepada organisasinya.
  • Seseorang pemimpin yang baik berupaya memudahkan semua kerja, dengan menjadikannya kerja-kerja biasa yang boleh dilakukan oleh kebanyakkan orang bawahannya dan tidak memerlukan pakar khusus.
  • Seorang pemimpin yang baik mempunyai perhubungan baik dengan orang-orang bawahannya. Dia mengenali mereka sebagai individu-individu yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Pada kebiasaannya, pemimpin yang baik jarang berkasar dengan orang-orang bawahannya.
  • Seseorang pemimpin yang baik pandai membahagikan masa. Dia tahu bila masa bertugas dan bila masa di luar tugas dan bertindak bersesuaian dengan keadaan. Pemimpin yang tidak cekap selalu merasa runsing dan bimbang dengan hal-hal tugas di mana juga dia berada.
  • Dalam sesebuah organisasi terdapat pelbagai jenis manusia: ada yang malas, ada yang rajin dan ada yang boleh diharap serta ada yang tidak boleh diharap. Seorang pemimpin yang bijak tidak lemah semangat dengan keadaan ini. Dia menerima hakikat sedemikian dan menggunakan sebaik-baiknya apa yang ada.
  • Seorang Pemimpin yang baik tahu dan mahu berbincang denganorang-orang bawahannya mengenai sesuatu hal yang dia sendiri tidak pasti. Dia tidak hanya pandai mengeluarkan arahan saja.
  • Seorang pemimpin yang baik mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman mengenai tugas dan manusia.
  • Seorang pemimpin yang baik pandai memperkembangkan kebolehan bekerja orang bawahannya. Dia tahu mengagihkan tugas kepada mereka.
  • Seorang pemimpin yang bijak tidak sekali-kali lemah semangat dan cepat mengaku kalah apabila berdepan dengan sesuatu masalah. Kalau masalah tidak dapat diselesaikan dengan satu cara, dia menggunakan cara lain. Dia sentiasa bersikap positif.

Melalui perbincangan mengenai ciri-ciri pemimpin berkesan di atas, beberapa kesimpulan dapat dibuat. Diantaranya ialah kepimpinan ialah perlakuan seseorang yang boleh menggerakkan orang lain untuk berfikir, merasa, bertindak dengan cara-cara tertentu. Dalam hal ini seorang pemimpin harus mengetahui keperluan dan motif orang-orang yang berkerja dengannya dan harus menitikberatkan pencapaian matlamat kumpulan. Dia juga harus berjaya mengekalkan kekuatan yang ada pada kumpulannya untuk menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat masa depan.

Seseorang pemimpin boleh menonjolkan kepimpinannya hanya melalui penglibatannya dalam kumpulan. Dalam kumpulan pula kekerapan interaksi bersama kakitangan membolehkan keberkesanan kepimpinannya. Kalau seorang pemimpin sentiasa “bersembunyi” dalam biliknya dan tidak mempunyai masa untuk berinteraksi dengan kakitangannya, maka kepimpinannya kurang berkesan.

Kepimpinan bukan bergantung sepenuhnya kepada jawatan. Status jawatan yang disandang hanya satu daripada punca potensi kepimpinan. Kejayaan kepimpinan adalah fungsi kedua-dua kuasa; secara formal melalui jawatan dan secara tidak formal yang bukan kerana jawatan, iaitu penerimaan orang-orang bawahan .


Panduan penulisan refleksi kerja kursus

Berikut adalah contoh refleksi yang ditulis oleh seorang pelajar  pada akhir tugasan kerja kursus Ilmu Pendidikan berdasarkan tajuk kerja kursus pendek seperti di bawah.

Tajuk Kerja Kursus Pendek :
Peranan Guru Dalam Pengurusan Bilik Darjah.

Soalan Tugasan : Guru yang tidak mahir mengurus kelas tidak akan berjaya dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang dikendalikannya.  

Berdasarkan pernyataan di atas, buat satu pemerhatian dalam sebuah kelas prasekolah yang anda pilih tentang :

(a)  aspek pengurusan bilik darjah iaitu perancangan, pengelolaan, pengawalan dan arahan.

(b)  kesan kemahiran mengurus bilik darjah kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

Berdasarkan pemerhatian tersebut, tulis satu refleksi mengenai amalan pengurusan  bilik darjah guru berkenaan dan kesannya ke atas proses pengajaran dan pembelajaran. 

Semasa menjalankan tugasan ini, kami membuat pemerhatian ke atas pengurusan bilik darjah sebuah kelas prasekolah. Aspek yang diperhatikan adalah dari segi perancangan, pengelolaan, pengawalan dan arahan guru dalam kelas tersebut. 
Saiz bilik darjah agak sempit dengan ruang pembelajaran yang terhad. Sistem pencahayaan dan pengudaraan kurang baik menjadikan suasana kelas panas.  Terdapat banyak hasil kerja murid yang digantung dan ditampal di sekeliling kelas menjadikan kelas kelihatan berserabut, agak padat dan sesak.

Kumpulan kami mendapati guru telah membuat perancangan pengajaran sehari sebelum pengajaran. Murid membuat aktiviti dalam kumpulan dan berkongsi bahan maujud dalam kumpulan. Terdapat juga murid yang kurang berpuas  hati apabila tidak dapat menyentuh semua bahan. Dari segi penilaian, kami mendapati terdapat rekod penilaian yang tidak dilengkapkan. Guru menggunakan corak kepimpinan autokratik dalam mengawal disiplin murid.  Kadang kala guru menggunakan suara yang agak tinggi dan sesekali menunjukkan pembaris sebagai amaran kepada murid. Murid agak takut dan sedikit pasif. Seorang murid menangis setelah dimarahi guru. Murid akur dengan arahan guru. Arahan gurudapat difahami oleh murid. Bahasa guru mudah dan arahan tidak mengelirukan.
( Pengalaman terpilih – Retell)

Setelah selesai membuat pemerhatian, kami membuat perbincangan dalam kumpulan bagi melengkapkan laporan.  Kami dapati suasana kelas kurang kondusif.  Walaupun guru merancang dengan baik, keadaan fizikal bilik darjah yang sempit dan  panas sedikit sebanyak mengganggu emosi pelajar seperti tidak selesa dan berpeluh-peluh.  Ini seperti yang dikatakan oleh Marland dalam buku yang ditulis oleh Ee Ah Meng (2001) iaitu suasana fizikal bilik darjah mungkin merupakan ”kawan” atau ”musuh” dalam pengajaran.  Susun atur bilik darjah yang baik boleh merangsang pembelajaran murid. Murid-murid prasekolah berminat dengan bahan maujud dan mahu memiliki bahan yang sama dengan rakan mereka disebabkan oleh sifat egosentrik yang ada dalam diri masing-masing.  Komunikasi   dan   gaya  kepimpinan  autokratik guru boleh menyebabkan emosi murid terganggu.   

Kami juga melihat penilaian perkembangan murid yang tidak disempurnakan boleh menyebabkan guru sukar mengubahsuai perancangan pengajaran dan pembelajaran berikutnya supaya bersesuaian dengan tahap murid.
( Review)

Setelah selesai melakukan tugasan ini, kami lebih menyedari tentang keperluan murid-murid prasekolah dan peranan guru dalam pengurusan bilik darjah. Berdasarkan pengurusan kelas yang telah kami perhatikan, kami berpendapat guru prasekolah tersebut perlu mewujudkan suasana kelas yang lebih kondusif dengan
mengubah susunan kerusi meja dalam kelas supaya ada ruang yang lebih luas untuk memudahkan pergerakan murid.  Bilangan hasil kerja murid perlu sesuai dengan ruang agar tidak terlalu sesak dan ditukar ganti setiap minggu supaya dapat menarik perhatian murid.  Ubahsuaian tingkap perlu bagi mewujudkan pengudaraan yang lebih dalam kelas. 

Semasa mengelolakan pengajaran dan pembelajaran, guru perlu memastikan bahan yang disediakan mencukupi supaya tidak menjadi rebutan murid.  

Murid-murid prasekolah masih tergolong sebagai kanak-kanak yang amat gemar kepada aktiviti permainan.  Justeru guru prasekolah perlu merancang isi dan aktiviti pengajaran dan

pembelajaran  berbentuk permainan untuk menarik minat murid.  Semasa mengelolakan pengajaran dan pembelajaran, arahan guru harus jelas dan tidak mengelirukan.  
( Pembelajaran daripada pengalaman)

Hati kami tersentuh apabila mengenangkan salah seorang murid yang menangis setelah dimarahi guru.  Oleh itu kami sedar bahawa sebagai guru prasekolah kita tidak boleh terlalu berkasar dengan murid.  Sebaliknya murid-murid ini memerlukan perhatian dan kasih sayang.  Justeru, guru-guru prasekolah perlu memenuhi tuntutan tersebut agar murid tidak rasa tertekan dan bersemangat untuk meneruskan pembelajaran. Cara ini sedikit berbeza dengan cara menangani murid KBSR yang usianya lebih tinggi.  

Guru   prasekolah   juga  tidak  boleh  mengabaikan aspek penilaian ke atas perkembangan murid kerana mereka berada pada tahap pembelajaran aktif.  Perkembangan kognitif, bahasa, emosi dan sosial perlu diperhatikan dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab.

Sebagai kesimpulan, tugasan ini menyedarkan kami bahawa sebagai seorang guru prasekolah kita perlu sentiasa peka kepada keperluan dan kehendak naluri kanak-kanak prasekolah.  
( Peningkatan kualiti diri )

Bab Munakahat

PERKAHWINAN DAN HUKUM-HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA
1) PENGERTIAN PERKAHWINAN

Maksud perkahwinan ialah akad yang menghalalkan di antara lelaki dengan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak daripada mereka hak-hak dan tanggungjawab. Dalam erti kata lain, suatu akad yang menghalalkan persetubuhan dengan sebab perkataan yang mengandungi lafaz nikah, perkahwinan dan sebagainya.

Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menyebut mengenai pensyariatan perkahwinan dianjurkan secara langsung atau tidak langsung kepada manusia sesuai dengan tuntutan fitrah semulajadinya.

Berikut dinyatakan beberapa ayat Al-Quran Al-Karim mengenai perkahwinan dan tujuan-tujuan disyariatkannya.

 Allah berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 3, ertinya :

“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil (bilah menikah) anak-anak yatim, maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka seorang sajalah, atau hamba sahaya yang kamu miliki. Yang demikian itulah yang lebih memungkinkan kamu terhindar dari berlaku sewenang-wenangnya.”

Dari ayat tersebut di atas, dapat diambil penjelasan bahawa seorang lelaki disuruh oleh Allah Taala untuk berkahwin jika berkemampuan, sehingga kepada empat orang isteri dengan cara berlaku adil terhadap mereka sepertimana yang ditentukan oleh syarak. Sebaliknya jika bimbang tidak dapat berlaku adil maka berkahwinlah dengan seorang sahaja.

Allah berfirman, ertinya :

“Wahai manusia ! Bertaqwalah kamu kepada Tuhanmu, yang telah menjadikan kamu dari satu diri, dan daripadanya dijadikanNya serta dari keduanya Dia memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Bertaqwalah kepada Allah yang kamu telah bertanya tentang namaNya yang peliharalah keluargamu. Sesungguhnya Allah Pengawas atas kamu.”

Di antara hadis Rasulullah SAW yang menerangkan mengenai perkahwinan adalah sebagaimana berikut – ertinya :

“Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud katanya, Rasulullah SAW bersabda kepada kamu: Wahai kumpulan anak-anak muda ! Barangsiapa di antara kamu yang mampu berkahwin hendaklah berkahwin. Kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa sebab yang demikian itu akan menahan nafsunya.”

Dijelaskan dalan hadis di atas bahawa Rasulullah SAW memerintahkan umatnya yang mempunyai kemampuan dan keupayaan supaya berkahwin, kerana perkahwinan merupakan tuntutan syariat dan sunnah Nabi SAW. Antara faedah yang ketara di sini ialah seseorang itu dapat menjauhkan diri dari perkara negatif atau perbuatan keji yang dilarang oleh Allah Taala seperti berbuat zina dan sebagainya. Sekiranya seseorang itu tidak mampu berkahwin hendaklah dia berpuasa itu dapat mengekang nafsu syahwat.

Memandangkan kelengkapan ajaran Islam dalam menjamin kesejahteraan rumahtangga, keturunan dan keselamatan umat, maka syariat Islam telah mengadakan beberapa peraturan hukum perkahwinan agar manusia tidak akan tergelincir ke dalam kerosakan dan kehancuran kerana sudah menjadi fardhu ain terhadap orang Islam dan mengaku dirinya Islam wajib mempelajari hukum-hukum Allah termasuk hukum nikah cerai dan rujuk.

Perkahwinan hendaklah diasaskan kepada beberapa factor penting untuk menjamin kebahagiaan antaranya ialah :

1.       Perkahwinan diasaskan dengan rasa taqwa kepada Allah. Tanpa taqwa, dikhuatiri perkahwinan itu tidak akan mencapai kepada matlamatnya, tambahan pula berkahwin itu juga merupakan ibadat dan sunnah.

2.       Perkahwinan hendaklah juga diasaskan kepada rasa Al Mawaddah dan Ar Rahman. Tanpa dua perkara ini perkahwinan akan hancur dan tinggallah cita-cita sahaja.

3.       Sesebuah rumahtangga juga perlu diasaskan kepada dasar hidup bersama secara yang baik dan diredhai Allah SWT. Maka itulah yang biasa disebut Al Mu’assarah Bi Al Maaruf.

4.       Perkahwinan juga berasaskan kepada amanah dan tanggungjawab bukannya kehendak nafsu semata-mata. Suatu amanah hendaklah ditunaikan dengan sebaik-baiknya, sementara tanggungjawab dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas hati.



2) HIKMAH PERKAHWINAN

Setiap ciptaan Allah SWT mempunyai faedah dan hikmahnya yang tersendiri. Faedah dan hikmah tersebut boleh dilihat dan difikir oleh akal manusia, hanya Allah Taala sahaja yang mengetahuinya. Begitulah juga dengan perkahwinan, mempunyai faedah dan seterusnya kepada masyarakat Islam.

Di antara faedah dan hikmahnya ialah :-

1.       Supaya manusia itu hidup berpasangan menjadi suami isteri yang sah bagi mengatur dan membangunkan rumahtangga dengan janji-janji setia (akad nikah) sehidup semati.

2.       Supaya perhubungan lelaki dan wanita akan lebih bermakna lagi di sisi Allah dengan ikatan dan pertalian yang kukuh di mana tidak mudah putus atau diputuskan.

3.       Membangunkan masyarakat dari asas-asas rumahtangga yang damai dan berdisiplin.

4.       Supaya umat manusia berkembang biak bagi meramaikan dan memakmurkan bumi Allah yang luas ini.

5.       Supaya dapat melahirkan keturunan bangsa manusia yang diakui sah serta kekal pula dalam masyarakat dan negara.

6.       Supaya dapat menumpukan perasaan mahabbah, kasih sayang, tanggungjawab seorang suami kepada isteri, seorang bapa kepada anaknya, seorang datuk kepada cucunya dan seterusnya dari sebuah masyarakat kepada negara.

7.       Perkahwinan membuka pintu rezeki serta nikmat hidup.

8.       Perkahwinan memelihara agama, kesopanan, kehormatan dan kesihatan.

9.       Menyempurnakan naluri manusia bagi mendapat kepuasan nafsu dan keinginan syahwat serta menjauhkan diri dari gangguan godaan maksiat dan kezalinan yang amat dilarang oleh agama.



Pendek kata perkahwinan adalah peraturan dari Allah Taala yang diturunkan untuk kebaikan seluruh masyarakat manusia bagi mencapai kebahagiaan umat dengan baik dan sempurna. Jika keadaan rumahtangga itu kucar kacir dan tidak kukuh, maka keadaan umat itu juga turut lemah dan sengsara akhirnya.

3) HUKUM-HUKUM PERKAHWINAN

Hukum asal suatu perkahwinan adalah harus sahaja tetapi dalam pada itu berkemungkinan boleh berubah menjadi wajib, sunat, haram dan makruh di mana sesuai dengan keadaan seseorang yang akan menempuh perkahwinan.

Huraiannya adalah seperti berikut :-

1. Perkahwinan yang wajib.

Orang yang diwajibkan berkahwin ialah orang yang mampu untuk berkahwin, sedang ia khuatir terhadap dirinya akan melakukan perbuatan zina.

2. Perkahwinan yang sunat

Orang yang disunatkan berkahwin ialah orang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin dan sanggup memelihara diri dari kemungkinan melakukan perbuatan yang terlarang.

3. Perkahwinan yang haram

Orang yang diharamkan berkahwin ialah orang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin tetapi kalau ia berkahwin diduga akan menimbulkan kemudharatan terhadap pihak yang lain seperti orang gila, orang yang suka membunuh atau mempunyai sifat-sifat yang dapat membahayakan pihak yang lain dan sebagainya.

4. Perkahwinan yang makruh

Orang yang makruh hukumnya berkahwin ialah orang yang tidak mempunyai kesanggupan untuk berkahwin (dibolehkan melakukan perkahwinan) tetapi ia dikhuatiri tidak dapat mencapai tujuan perkahwinan. Oleh itu dianjurkan sebaliknya ia tidak melakukan perkahwinan.

Demikian huraian hukum-hukum perkahwinan yang boleh dijadikan panduan dan juga pengajaran yang baik kepada sesiapa yang hendak berkahwin.



RUKUN NIKAH

1. Calon isteri. (perempuan)

2. Calon suami. (lelaki)

3. Wali.

4. Dua orang saksi.

5. Akad ijab dan qabul.



1) SYARAT-SYARAT CALON ISTERI

1.       Bukan mahram dengan bakal suami.

2.       Bakal isteri itu tentu orangnya, tidak sah perkahwinan kalau seorang bapa berkata: “Saya nikahkan awak dengan salah seorang daripada anak-anak perempuan saya”. Pendeknya mestilah ditentukan yang mana satu daripada anak-anaknya itu.

3.       Bukan isteri orang dan bukan pula masih dalam iddah.

4.       Benar-benar yang ia seorang perempuan – bukan khunsa.

5.       Dengan rela hatinya bukan dipaksa-paksa kecuali bakal isteri itu masih gadis maka bapa atau datuk (bapa kepada bapa) boleh memaksanya berkahwin.



2) SYARAT-SYARAT CALON SUAMI

1.       Bukan mahram dengan bakal isteri.

2.       Dengan pilihan hatinya sendiri, tidak sah berkahwin dengan cara paksa.

3.       Lelaki yang tertentu, tidak sah perkahwinan kalau wali berkata kepada dua orang lelaki : “Saya nikahkan anak perempuan saya Aminah dengan salah seorang daripada kamu berdua.”

4.       Bakal suami mestilah tahu yang bakal isteri itu sah berkahwin dengannya.

5.       Bakal suami itu bukan sedang dalam ilham.

6.       Bakal suami tidak dalam keadaan beristeri empat.

3) SYARAT-SYARAT WALI

1.       Islam, orang yang tidak beragama Islam tidak sah menjadi wali atau saksi. Firman Allah:

2.       Ertinya : Wahai orang yang beriman janganlah kamu ambil orang Yahudi dan orang Nasrani untuk menjadi wali.

3.       (Surah Al-Maidah : Ayat 51)

4.       Baligh

5.       Berakal

6.       Merdeka

7.       Lelaki, perempuan tidak boleh menjadi wali. Sabda Rasulullah SAW :

8.       Ertinya : Tidak harus perempuan mengkahwinkan perempuan dan tidak perempuan mengkahwinkan dirinya sendiri, dan kami berkata: perempuan yang mengkahwinkan dirinya sendiri adalah penzina.

9.       (Riwayat Al-Dar Al-Qatni)

10.   Adil – tidak fasiq, sabda Rasulullah SAW :

11.   Ertinya : Tidak sah perkahwinan itu melainkan dengan wali yang adil.

12.   Tidak dalam ihram, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

13.   Ertinya : Orang yang sedang berihram tidak boleh berkahwin dan tidak boleh mengkahwinkan orang lain.

14.   (Riwayat Muslim)

15.   Tidak cacat akal atau fikirannya samada kerana terlalu tua atau lainnya.

16.   Tidak dari orang yang ditahan kuasanya dari membelanjakan hartanya kerana bodoh atau terlalu boros.



4) SYARAT-IJAB DAN QABUL

a. Syarat-syarat ijab :

1.       Hendaklah dengan perkataan nikah atau tazwij yang terang dan tepat.

2.       Lafaz ijab itu tidak mengandungi perkataan yang menunjukkan perkahwinan itu terbatas waktnya.

3.       Dari wali sepertii katanya : “Saya nikahkan awak dengan anak saya Fatimah dengan mas kahwin lima ratus ringgit tunai / bertangguh”, atau pun dari wakil wali seperti katanya : Saya nikahkan dikau dengan Fatimah binti Yusof yang telah berwakil wali ayahnya kepada saya dengan mas kahwin sebanya lima ratus ringgit tanai / bertangguh”.

4.       Tidak dengan lafaz ta’liq seperti kata wali : “Saya nikahkan dikau dengan anak saya Fatimah sekiranya anak saya itu diceraikan dan selesai iddahnya”.



b. Syarat-syarat Qabul :

1.       Tidak berselang lama atau tidak diselangi dengan perkataan-perkataan lain di antara ijab dan qabul. Ertinya di antara ijab dan qabul tidak diselangi oleh sesuatu samada perkataan-perkataan yang lain daripada ijab dan qabul atau diam yang lama, bukan diam untuk bernafas.

2.       Diterima oleh calon suami seperti katanya : “Saya terima nikahnya dengan mas kahwin sebanyak yang tersebut tunai / bertangguh”. Ataupun wakilnya seperti katanya: “Saya terima nikahnya untuk Osman, (kalau calon suami itu bernama Osman) dengan mas kahwin yang tersebut”.

3.       Lafaz qabul itu tidak berta’liq.

4.       Lafaz qabul itu tidak mengandungi perkataan yang menunjukkan nikah itu terbatas waktunya.

5.       Hendaklah disebut nama bakal itu atau ganti namanya, seperti kata calon suami : “Saya terimalah nikah Fatimah atau nikahnya”.

6.       Lafaz qabul itu sesuai dengan lafaz ijab.

7.       Hendaklah lafaz qabul itu lafaz yang terang bukan sindiran.

8.        

5) SYARAT-SYARAT SAKSI

1.   Kedua saksi perkahwinan itu mestilah beragama Islam.

2.   Lelaki

3.   Berakal

4.   Baligh

5.   Merdeka

6.   Adil (tidak fasiq).

7.   Melihat, tidak sah menjadi saksi orang yang buta.

8.   Mendengar, tidak sah menjadi saksi orang yang pekak.

9.   Kuat ingatan, maksudnya ingat apa yang didengar dan yang dilihat.

10. Faham dengan bahasa yang digunakan dalam ijab dan qabul.

11. Bukan yang tertentu menjadi wali seperti bapa atau saudara lelaki yang tunggal (tidak ada saudara lelaki yang lain), ertinya : tidak sah perkahwinan sekiranya bapa atau saudara yang tunggal itu mewakilkan kepada orang lain untuk mengakadkan perkahwinan itu sedangkan mereka menjadi saksi dalam perkahwinan tersebut.



6) SUSUNAN WALI

1. Bapa

2. Datuk sebelah bapa hingga ke atas

3. Saudara seibu sebapa

4. Saudara sebapa

5. Anak saudara lelaki seibu sebapa hingga ke bawah.

6. Anak saudara lelaki sebapa hingga ke bawah

7. Bapa saudara seibu sebapa hingga ke atas.

8. Bapa saudara sebapa hingga ke atas.

9. Anak bapa saudara seibu sebapa (sepupu) hingga ke bawah.

10. Anak bapa saudara sebapa (sepupu) hingga ke bawah.

11. Kemudian hakim (Sultan) termasuklah orang-orang yang dilantik oleh Sultan seperti Kadhi atau naib Kadhi.

Di dalam susunan wali tersebut, wali yang paling hampir kepada perempuan digelar dengan wali aqrab dan yang terjauh digelar dengan wali ab’adh.

Untuk menjadi wali perkahwinan itu mestilah didahulukan yang lebih aqrab kemudian kalau tidak ada yang lebih aqrab baharulah yang selepas dan begitulah seterusnya.



7) WALI HAKIM

Hakim mempunyai kuasa untuk menjadi wali dalam satu-satu perkahwinan di masa yang tertentu seperti berikut :

1.       Ketika tidak ada wali yang tersebut, sebagaimana sabda Rasulullah Salallahu Aalihi Wassallam :

Ertinya : Sultan menjadi wali bagi mereka yang tidak ada wali.

2.       Wali enggan mengahwinkannya walaupun wali mujbir (bapa atau datuk) sekiranya keengganan itu kurang dari tiga kali, tetapi jika keengganan itu lebih dari tiga kali maka wali yang lebih jauh darinya berhak menjadi wali sebagaimana dalam susunan wali.

3.       Sebagai contoh wali yang enggan menikahkan yaitu : perempuan yang baligh, berakal memohon kepada wali supaya mengahwinkan dengan seorang lelaki yang setaraf dengannya sedangkan wali bapa atau datuk mahukan seorang yang lain yang setaraf juga. Bentuk yang demikian tidaklah dianggap wali itu enggan atau ingkar, kerana wali itu lebih matang daripada perempuan itu dari segi perhatian dan pandangan untuk kepentingan atau kebahagiaan perempuan tersebut.

4.       Wali berada di tempat yang jauh sekadar perjalanan yang mengharuskan qasar sembahyang iaitu kira-kira enam puluh batu dan tidak ada pula wali yang sedarjat dengan wali yang jauh itu di tempat perempuan yang akan dikahwinkan itu.

5.       Wali sedang di dalam ihram dan tidak ada wali yang lain yang sedarjat yang tidak di dalam ihram.

6.       Wali itu sendiri berkahwin dengan sempurna itu, seperti anak bapa saudara yang ketika sepatutnya beliau menjadi wali, tetapi oleh kerana beliau inginkan perempuan itu untuk menjadi isterinya dan tidak ada wali yang lain yan sedarjat dengannya maka ketika itu hakimlah yang menjadi wali.

7.       Hakim menjadi wali untuk mengahwinkan perempuan yang sudah baligh tetapi gila, sekiranya perlu dikahwinkan dan tidak ada wali yang mujbar (bapa atau datuk).

8.       Wali di dalam tahanan dan tidak boleh dihubungi sama sekali.

9.       Wali bersembunyi.

10.   Wali ghaib dan tidak diketahui hidup atau mati atau di mana ia tinggal.



8) WALI MUJBIR

Sebelum ini telah dinyatakan susunan wali, di dalam susunan wali tersebut terdapat dua golongan iaitu :

1. Wali mujbir : iaitu bapa dan datuk (bapa kepada bapa) sekiranya bapa sudah tidak ada, kedua-dua ini berhak mengkahwinkan perempuan yang masih gadis (anak dara) tanpa meminta keizinan daripada gadis tersebut lebih dahulu dengan syarat-syarat yang akan diterangkan kemudian. Walau bagaimanapun kedua-duanya disunatkan meminta keizinan gadis itu terlebih dahulu, sabda Rasulullah SAW.

Ertinya : Janda lebih berhak ke atas dirinya dan anak dara dikahwinkan dia oleh bapanya.



2. Bukan Mujbir iaitu : wali perkahwinan bagi yang bukan anak dara atau yang berkahwin itu anak dara tetapi bukan wali bapa atau datuk. Dalam keadaan yang begini wali tidak boleh mengkahwinkan tanpa meminta keizinan terlebih dahulu, kerana sabda Rasulullah SAW.

Ertinya : Janganlah kamu kahwinkan janda sehingga kamu meminta keizinan mereka terlebih dahulu.

(Riwayat At-Tarmidzi)

Oleh sebab seorang janda sudah mengetahui maksud atau tujuan perkahwinan sebab itulah tidak boleh dipaksa dengan tidak mendapat keizinan.



9) SYARAT-SYARAT SAH BAPA ATAU DATUK MENGKAHWINKAN ANAK DARA TANPA KEIZINANNYA

1.      Tidak ada permusuhan di antara calon isteri dengan walinya.

2.      Tidak ada permusuhan di antara calon isteri dengan bakal suami.

3.      Kufu’ atau setaraf di antara bakal suami dengan calon isteri.

4.      Bakal suami sanggup membayar mas kahwin dengan tunai.

Keempat-empat syarat tersebut adalah menjadi syarat bagi sahnya perkahwinan itu. Selain dari syarat-syarat tersebut di tambah dengan syarat-syarat lain seperti berikut:

1.      Hendaklah mas kahwin yang setanding (mahar misil).

2.      Mas kahwin itu hendaklah dari wang yang digunakan dalam negeri itu.

3. Bakal suami itu bukanlah dari orang yang menyusahkan bakal isteri untuk hidup bersamanya seperti orang buta atau terlalu tua.

Sekiranya ketiga-tiga syarat ini tidak diperolehi dan perkahwinan itu dilakukan juga, maka perkahwinan itu sah, tetapi wali adalah berdosa, pendeknya perkahwinan haram dilakukan.



PEREMPUAN YANG HARAM DIKAHWINI

Perempuan yang haram dikahwini terbahagi kepada dua bahagian :

1. Haram buat selama-lamanya.

2. Haram buat sementara waktu.





1) SEBAB-SEBAB HARAM DIKAHWINI

1. Haram dengan sebab keturunan

2. Haram dengan sebab susuan

3. Haram dengan sebab persemendaan (musoharah).



2) HARAM DENGAN SEBAB KETURUNAN

1. Ibu dan ibu kepada ibu (nenek) hinggalah ke atas.

2. Anak, cucu dan seterusnya ke bawah.

3. Saudara perempuan seibu atau sebapa atau seibu sahaja.

4. Saudara perempuan bagi bapa (emak saudara) hingga ke atas.

5. Saudara perempuan ibu (emak saudara) hingga ke atas.

6. Anak saudara dari saudara lelaki hingga ke bawah.

7. Anak saudara dari saudara perempuan hingga ke bawah.

Sebagai dalil bagi pengharaman tersebut ialah firman Allah :

Ertinya : Diharamkan ke atas kamu mengahwini ibu kamu, anak saudara, emak saudara sebelah bapa, emak saudara sebelah ibu, anak saudara dari saudara lelaki, dan anak saudara dari saudara perempuan kamu.

(Surah An-Nisa : ayat 23)

PERHATIAN :

Anak perempuan yang lahir hasil dari perzinaan, tidak haram dengan bapa zinanya kerana anak perempuan yang lahir dari zina dianggap orang asing (ajanabiah) baginya, ini ialah kerana mani zina itu tidak dihormati, walau bagaimanapun makruh bagi bapa zina mengahwini anak zinanya, berdasarkan perselisihan pendapat di antara utalam Abu Hanifah (mazhab Hanafi) yang berpendapat :

Tidak halal bagi bapa zina mengahwini anak perempuan yang hasil dari zinanya dan anak zinanya itu dianggap sebagai muhrimnya, iaitu sama seperti anak biasa.

Walaupun tidak halal dikahwini tetapi tidak berhak mendapat pusaka dari bapa zinanya itu.

Bagi ibu yang berzina dan semua muhrimnya adalah haram mengahwini anak zinanya, begitu juga anak zina itu berhak mendapat pusaka dari ibunya.



3) HARAM DENGAN SEBAB PENYUSUAN

1. Ibu yang menyusukan.

2. Saudara perempuan yang sepersusuan.

Firman Allah :

Ertinya : Dan diharamkan ibu-ibu yang menyusukan kamu dan saudara-saudara kamu sepersusuan.

Perempuan-perempuan yang haram dengan sebab susuan adalah sama dengan orang-orang yang haram dengan sebab keturunan, sebagaimana sabda Nabi SAW :

Ertinya : Haram dari susuan sebagaimana haram dari keturunan.

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)



SYARAT-SYARAT HARAM DENGAN SEBAB SUSUAN

1. Ibu yang menyusukan itu telah baligh.

2. Anak yang disusukan itu berusia dua tahun, sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

Ertinya : Tidaklah susuan itu melainkan dalam lingkungan umur dua tahun.

(Riwayat Al-Dar Qatni)

3. Bilangan menyusunya sampai lima kali yang berasingan dan setiap kali menyusu mesti sampai kenyang, sebagaimana tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Aishah :

Ertinya : Adalah pada ayat yang diturunkan dari Quran ialah sepuluh kali susu yang maklum lagi mengharamkan kemudian dimansuhkan dengan lima kali susu sahaja.

(al-Hadith)

4. Susu yang diberi kepada anak-anak itu mestilah ditelan dan sampai ke perut kanak-kanak itu pada kelima-lima kalinya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

Ertinya :Tidak diharamkan kahwin dari susuan itu melainkan susuan yang sampai kepada perut kanak-kanak itu dan penyusuan itu pula mesti budak yang menyusu itu belum berumur dua tahun.

(Riwayat : At-Tarmidzi)

Sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat yang tersebut maka tidaklah haram berkahwin di antara ibu yang menyusukan dengan anak yang disusukan dan seterusnya.



4) HARAM DENGAN SEBAB PERSEMENDAAN (BERAMBIL-AMBILAN)

1. Ibu mertua samada dari keturunan atau penyusuan.

2. Ibu tiri, datuk tiri hingga ke atas.

3. Menantu perempuan (isteri anak), isteri cucu hingga ke bawah.

4. Anak tiri dengan syarat sudah disetubuhi ibunya, jika belum disetubuhi kemudian diceraikan, maka tidaklah haram mengkahwinkan anak tiri itu samada anak tiri itu dari keturunan atau penyusuan.

Pengharaman keempat-empat orang ini berdasarkan firman Allah :

Ertinya : Dan diharamkan ibu isteri kamu, dan anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu jika ibunya telah kamu setubuhi, maka jika ibunya itu belum kamu setubuhi maka bolehlah kamu mengkahwini anak tiri itu dengan begitu juga haram mengkahwini isteri anak kamu yang sejati.

(Surah An-Nisa:ayat 23)

Dan firman Allah :

Ertinya: Janganlah kamu kahwini perempuan-perempuan yang telah dikahwini oleh bapa kamu (ibu tiri).

(Surah An-Nisa : ayat 22)



5) PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG HARAM DIKAHWINI BUAT SEMENTARA WAKTU DENGAN

SEBAB MENGHIMPUNKANNYA

1. Saudara-saudara perempuan bagi isteri. Sebagaimana firman Allah :

Ertinya : Da haram kamu menghimpunkan dua perempuan yang bersaudara kecuali apa yang telah lalu.

2. Anak saudara isteri sebelah bapa.

3. Anak saudara isteri sebelah ibu.

4. Anak saudara isteri dari saudara lelaki.

5. Anak saudara isteri dari saudara perempuan.

Sabda Rasulullah SAW :

Ertinya : Tidak boleh dikahwini seorang perempuan yang dihimpunkan dengan emak saudara sebelah bapa dan tidak boleh antara emak saudara sebelah bapa dengan anak perempuan saudara lelakinya dan tidak boleh dikahwini seorang perempuan dihimpun dengan emak saudaranya sebelah ibu begitu juga di antara emak saudara sebelah ibu dengan anak perempuan dari saudara perempuan, tidak yang besar dengan yang kecil dan tidak yang kecil dengan yang besar.

(Riwayat At-Tarmidzi)



Bab : MASKAHWIN

1) PENGERTIAN MASKAHWIN (AL-MAHAR)



Maskahwin ialah : pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Sebagaimana firman Allah:

Ertinya : Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka S.A.W.:

Sabda Rasulullah SAW :

Ertinya : Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang dibuat daripada besi.

(Riwayat Al-Bukhari Muslim)

Dari hadith tersebut nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja, asalkan sesuatu yang berguna dan berfaedah, samada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat, Sebagaimana Rasulullah pernah mengkahwinkan seorang lelaki yang tidak ada memiliki sesuatu apa pun untuk dijadikan maskahwin, lalu Rasulullah bertanya kepada lelaki itu adakah pada engkau sedikit dari ayat-ayat Quran, lelaki itu menyahut bahawa dia ada mengingati beberapa surah, kemudian Rasulullah pun mengkahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isteri lelaki itu.

Maskahwin ini tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit. Jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya maskahwin ini terpulanglah kepada persetujuan kedua belah pihak pengantin dan biasanya mengikuti taraf atau darjat pengantin tersebut, walau bagaimanapun pihak syara’ tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.:

Ertinya : Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah.

Hadis tersebut menunjukkan bahawa disunatkan maskahwinkan itu rendah nilainya, supaya tidak menjadi keberatan kepada lelaki untuk mencarinya, walaupun begitu, bukanlah bermaksud rendah sehingga sampai menjatuhkan taraf wanita.

2) BAHAGIAN MAHAR

1. Mahar Misil

Ialah mahar yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah dinilai sama dengan maskahwin keluarga yang paling dekat sekali, seperti kakak, emak saudara dan seterusnya di samping menilai keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

2. Mahar Musamma

Ialah maskahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.

3) HUKUM MENYEBUT MASKAHWIN DI WAKTU AKAD

1. Sunat

Sunat, kerana Rasulullah sendiri tidak pernah meninggalkan dari menyebutnya di masa akad bila menikahkan orang lain. Dengan menyebutnya di masa akad, dapat mengelakkan dari berlaku perselisihan berhubung dengannya, juga dapat membezakan di antara perkahwinan biasa dengan perkahwinan seorang perempuan yang menghebahkan dirinya kepada Rasulullah tanpa mahar.

Sekiranya mahar tersebut tidak dinyatakan di masa akad bukanlah bererti akad perkahwinan itu tidak sah tetapi makruh jika tidak disebut.

2. Wajib

Wajib disebut mahar di waktu akad dalam keadaan yang berikut :

1. Jika bakal isteri itu seorang yang masih budak kecil, gila, atau bodoh, sedangkan bakal suami ingin membayar mahar yang lebih tinggi dari mahar yang sepatutnya (mahar misil).

2. Jika bakal isteri yang sudah baligh, bijak dan boleh menguruskan diri sendiri dan telah membenarkan wali untuk mengkahwinkannya, tetapi ia tidak menyerahkan kepada walinya untuk menetapkan maskahwinnya.

3. Jika bakal suami itu seorang yang tidak boleh menguruskan hal dirinya sendiri, seperti ia masih budak, gila atau bodoh dan sebelum akad telah mendapat persetujuan dari bakal isteri tersebut tentang bayaran maskahwin kurang dari mahar yang sepatutnya, oleh yang demikian maskahwin wajib dinyatakan sebagaimana yang dipersetujui.

Maksud wajib di sini bukanlah bererti perkahwinan itu tidak sah, tetapi perbuatan itu dianggap berdosa dan maskahwin dibayar mengikut kadar yang sepatunya (mahar Misil).



4) WAJIB MASKAHWIN

Maskahwin wajib dibayar mengikut sebagaimana yang tersebut di dalam akad, Jika dinyatakan di masa akad, maskahwin wajib juga dibayar dengan keadaan yang berikut :

1. Bila suami menetapkan yang ia akan membayarnya sebelum dukhul (setubuh) dan dipersetujui oleh pihak isteri. Oleh yang demikian, isteri berhak menghalang suami dari mensetubuhinya sehingga suami tersebut menentukan kadar maskahwin yang akan diberinya, samada dengan secara tunai atau berhutang. Jika dijanjikan tunai maka pihak isteri berhak menghalang suami tersebut dari mensetubuhinya sehingga dijelaskan maskahwin itu.

2. Bila penetapan maskahwin itu dibuat oleh qadhi dengan sebab keingkaran pihak suami dari membuat ketetapan atau dengan senan perbalahan atau perselisihan kedua belah pihak tentang kadar maskahwin tersebut dan bila qadhi menentukannya maskahwin tersebut hendaklah dibayar tunai (tidak boleh berhutang).

3. Bila suami menyetubuhi isterinya wajib dibayar maskahwin menurut kadar yang seimbang dengan taraf isteri tersebut.



5) GUGUR SEPARUH MASKAHWIN

Apabila berlaku talak sebelum persetubuhan maka gugurlah separuh maskahwin, firman Allah :

Ertinya : Dan jika kamu menceraikan perempuan sebelum mensetubuhinya, sedangkan kamu telah menentukan maskahwinnya, maka bagi perempuan itu setengah dari apa yang kamu tentukan itu.

Hal ini berlaku sekiranya perceraian itu berpunca dari pihak suami seperti suami menjadi murtad, atau suami menganut Islam sedangkan isterinya tidak dan sebagainya, tetapi jika penceraian itu berpunca dari pihak isteri, seperti suami menfasakhkan perkahwinan tersebut dengan sebab kecacatan yang ada pada isteri, maka maskahwin itu akan gugur semuanya.



6) MATI SUAMI ATAU ISTERI SEBELUM PERSETUBUHAN

Jika seorang suami meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak warithnya wajib membayar maskahwin sepenuhnya kepada janda tersebut dan jika maskahwin itu belum ditentukan kadarnya, maka wajib dibayar dengan nilai mahar misil.

Sebaliknya pula jika seorang isteri meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak suami wajib membayar maskahwin sepenuhnya kepada wraith jandanya itu, jika maskahwin belum dijelaskan lagi sebelum, sabda Rasulullah S.A.W. :

Ertinya : Dari Al-Qamah katanya : Seorang perempuan telah berkahwin dengan seorang lelaki kemudian lelaki itu mati sebelum sampai mensetubuhi isterinya itu dan maskahwinnya pun belum ditentukan kadarnya, kata Al-Qamah: mereka mengadukan hal tersebut kepada Abdullah maka Abdullah berpendapat, perempuan itu berhak mendapat pusaka dan wajib pula ia beriddah, maka ketika ini Ma’kil bin Sanan Al-Shakbi menjelaskan bahawa sesungguhnya nabi S.A.W. telah memutuskan terhadap Buruq bte Wasiq seperti yang dibuat oleh Abdullah tadi.

(Riwayat Al-Kamsah dan Sahih At-Tirmidzi)



7) AL-MUT’AAH

Ertinya:Satu pemberian dari suami kepada isteri sewaktu ia menceraikannya. Pemberian ini wajib diberikan sekiranya perceraian itu berlaku dengan kehendak suami, bukan kemahuan isteri.

Banyaknya pemberian ini adalah berdasarkan kepada persetujuan atau keredhaan kedua-dua belah pihak, di samping mempertimbangkan keadaan kedua-duanya, kaya atau miskin dan sebagainya tidak kurang dari separuh mahar. Firman Allah:

Ertinya :Terangkan olehmu hati mereka dengan pemberian dan lepaskanlah mereka dengan cara yang baik.

(Al-Ahzab : ayat 49)



Bab : WALIMATUL ‘URUS



1) HUKUM MENGADAKANNYA

Hukum mengadakan kenduri kahwin ini adalah sunat muakad ( yang sangat dituntut) sebagaimana sabda Nabi S.A.W. :

Ertinya : Kata Nabi S.A.W. kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu beliau berkahwin, hendaklah kamu mengadakan kenduri kahwin sekalipun menyembelih seekor kambing.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)



2) HUKUM MENGHADIRI MAJLIS KAHWIN

Menerima jemputan ke majlis adalah wajib terhadap setiap orang yang dijemput kecuali ada sesuatu keuzuran tidak dapat menghadirinya, seperti sakit dan sebagainya. Sabda Rasulullah SAW:

Ertinya : Apabila kamu dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin hendaklah kamu menghadirinya.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)



3) SYARAT-SYARAT WAJIB PERGI KE MAJLIS KAHWIN BILA DIUNDANG

1. Yang dijemput itu bukan khusus kepada orang-orang kaya sahaja.
2. Yang menjemput itu juga beragama Islam.
3. Yang dijemput itu juga beragama Islam.
4. Kenduri itu tidak menggunakan wang atau harta haram.
5. Yang dijemput itu tidak menerima pada satu masa, maka hendaklah menerima jemputan yang lebih dekat dari segi keluarga kemudian dipandang dari segi dekat tempatnya.
6. Tidak didapati perkara-perkara yang mungkar di majlis itu seperti mengadakan minuman keras dan sebagainya.