Saturday, September 15, 2012

EDU 3106 IMPLIKASI KEPELBAGAIAN SOSIO

Pengenalan.

Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum dan etnik dengan pelbagai budaya. Kepelbagaian budaya ini telah mempamerkan keunikan negara kita berbanding negara lain. Menurut Edward Burnett Tylor, budaya atau kebudayaan merupakan keseluruhan yang kompleks, yang di dalamnya terkandung pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, hukum, adat istiadat, dan kemampuan-kemampuan lain yang diperoleh oleh seseorang sebagai anggota masyarakat.

Merujuk kepada perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi Suku Ketiga 2009, Malaysia terdiri daripada 17.64 juta orang kaum bumiputera dimana 14.50 juta orang adalah kaum melayu manakala 3.15 juta orang adalah kaum bumiputera bukan melayu seperti kadazan, dayak,iban, dusun dan lain-lain lagi. Kaum Cina pula seramai 6.45 juta orang diikuti dengan kaum india seramai 1.95 juta orang dan lain-lain kaum seramai 342 ribu orang.

Kewujudan pelbagai kaum di Malaysia secara langsung telah mewujudkan kepelbagaian sosio budaya dalam masyarakat kita. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, kepelbagaian membawa erti berbagai-bagai jenis manakala sosio-budaya pula ditakrifkan sebagai hubungan masyarakat dengan budaya yang merangkumi cara hidup, adat istiadat dan sebagainya. Oleh yang demikian, kepelbagaian sosio-budaya boleh didefinisikan sebagai hubungan masyarakat yang mempunyai perbezaan budaya dalam wilayah yang sama dan hidup bersama.

Islam turut mempunyai takrif tersendiri mengenai sosio budaya ini. Sosio budaya menurut islam ialah amalan yang berupa gaya hidup dan peradaban sesuatu masyarakat yang lahir dari akidah dan petunjuk Islam, bersangkutan dengan akhlak dan pergaulan masyarakat itu dalam berbagai bidang penghidupan mereka, bagi meransang pembangunan masyarakat berkenaan menurut yang diredhai Allah SWT.

Bagi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara yang mempunyai pelbagai kaum ini, pemerintah negara perlu bijak untuk menangani karenah serta permintaan semua kaum bagi kepentingan kaum mereka. Perpaduan merupakan elemen terpenting dalam usaha mengekalkan keharmonian negara, maka wujudlah Rukun Negara. Rukun Negara adalah salah satu usaha kerajaan untuk mengekalkan perpaduan pelbagai kaum di Malaysia setelah berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1963 yang mampu mengugat kemerdekaan negara pada masa itu. Pada era yang makin mencabar ini, perpaduan turut menjadi isu yang hangat setelah pemimpin-pemimpin kaum mula membangkitkan isu-isu sensitif dan mencabar hak keistimewaan Kaum Bumiputera yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Oleh hal demikian, satu pendekatan perlu di ambil bagi mengelakkan perpecahan kaum dan peristiwa berdarah berulang kembali.

Perubahan pucuk pimpinan negara pada tahun 2009 telah menjadikan perpaduan sebagai perkara utama kepimpinan negara. Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Hj Abd Razak melancarkan 1Malaysia sebagai usaha untuk mengeratkan hubungan kaum di Malaysia. Menurut beliau. 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.”

1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu dasar baru yang terpisah dari dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.

Dalam erti kata lain 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. 1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.

Definisi sosiobudaya

Sebelum membincangkan lebih lanjut berkaitan kepelbagaian sosio-budaya, terlebih dahulu dihuraikan maksud budaya itu sendiri. Apakah yang dimaksudkan dengan sosio-budaya? Menurut ensiklopedia bebas http://ms.wikipedia.org/ budaya atau kebudayaan (daripada perkataan Sanskrit buddayah, yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi, yang bermaksud budi pekerti atau akal) secara amnya membincangkan hal – hal berkaitan budi dan akal manusia. Manakala daya ialah perkataan Melayu Polynesia bermakna kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh. Apabila ke dua – dua perkataan ini dicantumkan (budaya) membawa maksud tenaga, fikiran, usaha rohani atau kuasa yang menggerakkan jiwa.

Menurut Kamus Dewan Edisi ke 3,1996,m/s:180 menyatakan budaya dapat ditakrifkan sebagai tamadun atau peradaban. Ia juga bermaksud kemajuan fikiran atau akal budi (cara berfikir dan berkelakuan).
Dr. Mohd. Arshad Hj. Taib ( bekas professor Madya UiTM) telah menyatakan dalam laman web http://dppwp.wordpress.com/usrah/pembangunan -sistem-sosio-budaya-islam-dalam-kontek-masyarakat-malaysia/ maksud sosio-budaya ialah amalan yang berupa gaya hidup dan peradaban bagi sesuatu masyarakat, lahir dari pegangan dan kecenderongan diri masyakarat berkenaan dalam berbagai bidang hidup, untuk memberi kepuasan dan meransang pembangunan hidup masyarakat tersebut.
Sementara itu menurut Andreas Eppink pula, kebudayaan ialah keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur – struktur kemasyarakatan, keagamaan selain penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri – ciri khas sesebuah masyarakat. Pengertian sebegini dipersetujui oleh Edward B. Taylor. Beliau memandang budaya sebagai satu konsep menyeluruh yang rumit yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang – undang, adat resam dan lain – lain kebolehan serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
Dalam konteks pendidikan, kepelbagaian sosio budaya individu itu bukan sahaja dilihat dari ras, etnik dan adat budaya mereka sahaja. Malah ia juga merangkumi skop yang lebih besar.

Implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap pengurusan bilik darjah dan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Kepelbagaian sosiobudaya akan memberi impak ataupun implikasi tersendiri kepada sesebuah organisasi. Kepelbagaian sosiobudaya ini turut dirasai di peringkat pengurusan kelas meliputi implikasi terhadap guru, murid dan sekolah. Kegagalan guru, murid serta sekolah dalam menghadapi kepelbagaian sosial ini akan menggagalkan konsep 1Malaysia yang dicanangkan oleh pucuk pimpinan negara. Hal ini kerana, sekolah merupakan tunjang atau umbi kepada 1Malaysia di mana penerapan nilai-nilai murni dan aspirasi seperti yang termaktub dalam konsep 1Malaysia akan bermula di peringkat sekolah.

1. Guru.

Menurut Mok Soon Sang (2002), guru bukan hanya menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata,tetapi juga menanam sikap, nilai dan sahsiah yang sempurna dan mematuhi peraturan masyarakat. Bertepatan dengan itu, guru perlu bersedia dengan kepelbagaian sosiobudaya murid yang datangnya daripada pelbagai kelas sosial dan kaum.

Roland Meighan (1986) berpendapat kelas sosial menggambarkan perbezaan cara hidup atau pendapatan di dalam sesuatu bangsa yang sama. Manakala menurut Kamus Dewan, kaum didefinisikan sebagai puak, suku bangsa ataupun jenis bangsa seseorang.

Oleh hal demikian, guru perlu bijak bagi menangani murid yang berasal daripada kelas sosial dan kaum yang berlainan. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, perbezaan kelas sosial dan kaum ini perlu diketepikan dan semua murid perlu di layan dengan sama rata tanpa mengambil kira kelas sosial dan kaum mereka. Guru juga perlu peka terhadap pembentukan kumpulan agar tidak berlaku kumpulan yang berasaskan kelas sosial dan kaum. Ini kerana kumpulan yang mempunyai murid yang berlainan kelas sosial dan kaum akan menggalakan interaksi serta pergaulan yang sihat. Latar belakang serta budaya hidup mereka yang berbeza akan mempengaruhi pemikiran serta pandangan mereka. Maka, hasil daripada perbincangan dalam kumpulan akan menghasilkan sesuatu pandangan yang lebih unik dan kreatif kerana percampuran pengaruh budaya dan fahaman murid-murid.

Lahir daripada latarbelakang dan pengaruh persekitaran yang berbeza,pastinya mempengaruhi pemikiran serta fahaman murid pada sesuatu perkara. Sebagai contoh, murid yang beragama islam dan murid beragama budha pastinya mempunyai pandangan tersendiri terhadap agama dan budaya mereka. Oleh hal demikian, guru perlu peka dengan perbezaan pemikiran itu dan mendengar segala pandangan atau idea yang murid sampaikan. Guru pelu memberi respon dan ulasan yang positif yang boleh menyebabkan mereka saling menghormati dan sedia mendengar pandangan sahabat mereka. Respon yang baik daripada guru akan meningkatkan pemahaman mereka dan meningkatkan perasaan ingin tahu dalam diri murid. Di samping itu, guru juga perlu menekankan budi bahasa dan tutur kata yang sopan ketika menyampaikan pandangan bersesuaian dengan nilai-nilai murni yang dinyatakan dalam konsep 1Malaysia.

Tembok perkauman perlu diruntuhkan bagi mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatupadu. Di dalam kelas, guru perlu mengelakkan diskriminasi kaum agar murid daripada kaum lain tidak merasakan diri mereka dipinggirkan oleh guru dan muri-murid lain. Guru juga perlu mengelakkan daripada menyentuh atau mempertikai agama dan kepercayaan yang dianuti oleh murid-murid. Perancangan proses pengajaran dan pembelajaran perlulah seiring dan sesuai dengan semua agama,nilai dan kepercayaan mereka.

Bahasa pengantar juga perlu diberi penekanan serius oleh guru. Murid yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latarbelakang ini menyebabkan berlaku pertembungan dialek yang memberi impak kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Guru haruslah menggunakan dan menekankan penggunaan bahasa standard yang mampu difahami oleh semua agar penglibatan murid di dalam aktiviti pembelajaran dapat dioptimumkan dan lebih berkesan.

2. Murid.

Kepelbagaian sosio budaya ini turut memberi kesan kepada murid. Murid-murid mempunyai pendirian tersendiri hasil daripada pengaruh budaya, agama dan persekitaran. Oleh itu, kewujudan murid pelbagai kaum dan sosio budaya di dalam kelas menjadikan mereka prejudis terhadap murid yang berbeza daripada gaya hidup mereka. Maka, murid perlu dibersihkan minda dan fahaman mereka terhadap rakan-rakan mereka yang berlainan agama, budaya dan jantina agar tidak ada jurang antara mereka bagi memudahkan proses pembelajaran.

Penggunaan bahasa standard perlu diamalkan oleh murid ketika di dalam kelas ataupun ketika berada di kawasan sekolah. Penggunaan bahasa ibunda ataupun dialek di dalam kelas seharusnya di kawal bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar. Penggunaan laras bahasa yang betul juga perlu ditekankan dalam kalangan murid bagi mengelakkan pergaduhan dan salah faham antara satu sama lain. Perbendaharan kata yang tepat dan betul turut membantu murid mencapai kematangan sosial.

Murid perlu mengambil peluang daripada kepelbagaian sosio budaya di dalam kelas untuk berinteraksi antara kaum dan jantina berlainan. Corak pemikiran antara lelaki dan perempuan adalah berbeza dan interaksi yang sihat seperti belajar secara berkumpulan dapat memberi gambaran kepada murid tentang sesuatu perkara dengan lebih jelas. Dalam masa yang sama, batas pergaulan antara jantina perlu diberikan penekanan agar tidak bertentangan dengan tuntutan agama.

Agama dan kepercayaan merupakan sesuatu isu yang amat sensitif. Oleh hal demikian, agama dan kepercayaan murid tidak harus dipertikaikan. Proses sosiolisasi antara kaum tanpa mengira anutan agama hendaklah dikembangkan supaya proses pembentukan kendiri murid dapat dilaksanakan.

Kelas yang mempunyai pelbagai kaum dan sosio budaya memerlukan sikap percaya antara satu sama lain. Aktiviti yang di rangka mestilah berupaya untuk menanam semangat saling mempercayai dalam jiwa murid. Semangat kepercayaan yang tinggi akan meruntuhkan tembok perkauman dan secara tidak langsung perpaduan antara kaum akan terjalin.

Kepelbagaian sosio budaya di dalam kelas turut merangsang kewujudan masalah didiplin. Rakan sebaya amat mudah mempengaruhi tingkah laku seseorang. Sebagai contoh, seorang murid yang baik akan terpengaruh dengan tingkah laku sahabatnya yang bermasalah apabila sering berinteraksi dan bergaul. Guru perlu peka terhadap perubahan murid agar tingkah laku yang tidak dingini dapat di bendung dan murid bermasalah dapat di kawal dan di ubah sikapnya.

3. Sekolah

Sistem pendidikan negara mempunyai pelbagai jenis pilihan sekolah yang boleh diikuti oleh murid. Kepelbagaian sosio – budaya telah mewujudkan sekolah yang terdiri daripada pelbagai bangsa seperti sekolah kebangsaan untuk semua kaum, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Oleh itu, aktiviti-aktiviti di sekolah dirancang dengan teliti bagi mengatasi kepelbagaian sosio-budaya ini.

Sekolah merupakan ruang untuk guru menerapkan kepercayaan dan nilai dalam masyarakat.Oleh itu, murid perlu diterapkan dengan nilai-nilai yang baik tanpa mengira latar sosio-budaya mereka. Murid juga harus sentiasa diingatkan agar sentiasa mengikut aktiviti yang dianjurkan oleh sekolah. Selain daripada meningkatkan pengetahuan murid, hubungan di antara setiap murid dapat dijalinkan melalui aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah.

Pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan dalam membina perhubungan tersebut selain daripada sekolah. Program Intergrasi Untuk Perpaduan (RIMUP) adalah salah satu aktiviti yang diusahakan oleh Kementerian Pelajaran bagi memastikan perpaduan dipupuk di kalangan murid tanpa mengira latar belakang, agama, kaum, jantina dan sebagainya. Pihak-pihak berwajib boleh menyumbangkan sokongan samada dalam bentuk moral ataupun material bagi mengembangkan lagi pengetahuan dan perpaduan di kalangan murid.

Sekolah Wawasan ditubuhkan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid di sekolah. Sekolah ini adalah antara sekolah yang dahulunya terasing antara satu sama lain, kini disatukan dalam satu sistem pendidikan yang seragam.

Apabila murid-murid yang berlainan latar belakang dapat berinteraksi sejak peringkat awal persekolahan, sudah tentu masa depan akan lahir satu generasi yang hormat dan bertoleransi di antara satu sama lain. Oleh itu, penekanan semangat perpaduan dan integrasi antara kaum perlu dipupuk sejak kecil iaitu dibangku sekolah rendah kerana ia akan lebih memudahkan mereka untuk menghadapi masyarakat di masa akan datang.

4. Kurikulum Tersirat

Kurikulum merujuk kepada perancangan bertulis yang sistematik merangkumi objektif, kandungan, strategi penyampaian dan penilaian untuk dilaksanakan. Kurikulum tersirat pula merujuk kepada norma, nilai dan kepercayaan yang disebarkan melalui pendidikan formal dan interaksi di sekolah.

Kurikulum tersirat memberi penekanan kepada persekitaran yang wujud di kalangan warga sekolah. Budaya akademik di sekolah boleh dikatakan sebagai kurikulum tersirat. Kurikulum tersirat juga boleh dilaksanakan melalui aktiviti ko-kurikulum seperti aktiviti berpersatuan, kegiatan panitia dan sebagainya.

Kurikulum tersirat merangkumi nilai-nilai yang dibentuk oleh warga sekolah sendiri seperti amalan, prosedur, peraturan, pertalian dan struktur di sekolah. Ianya dijalankan secara tidak langsung seperti murid mempelajari tingkah laku baik guru, guru mempamerkan akhlak budi pekerti, hubungan rapo di antara warga sekolah dan sebagainya. Nilai, norma, peraturan, daya intelek dan apa juga yang dibawa di dalam persekitaran sekolah akan memberi kesan secara tidak langsung tetapi amat bermakna terhadap amalan hidup murid

Namun demikian, sesetengah kurikulum tersirat kadang-kadang mempunyai konotasi negatif kerana nilai-nilai yang disebarkan mungkin menjurus kepada hal-hal seperti menyokong perbezaan kelas di mana murid dibahagikan kelas mengikut tahap kepandaian, kaum dan jantina dan ini akan menjurus kepada pengagihan modal pendidikan secara tidak sekata. Dalam hal ini, guru perlu memainkan peranan dan memberikan perhatian kepada kurikulum tersirat sewajarnya supaya bersifat positif ke arah membina keadilan sosial berlandaskan kepada kepelbagaian sosio-budaya masyarakat setempat.

2 comments: